Pelaksanaan biodiesel B15 bermula 1 Jun, perkukuh agenda tenaga hijau negara

Pelaksanaan biodiesel B15 bermula 1 Jun, perkukuh agenda tenaga hijau negara

Pelaksanaan pengadunan biodiesel daripada B10 ke B15 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Jun 2026 sebagai langkah strategik negara dalam memperkukuh keselamatan tenaga, meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit serta membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan itu bukan sekadar perubahan campuran bahan api semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian agenda besar negara ke arah tenaga hijau dan pembangunan mampan.

Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan berperingkat melalui pelaksanaan B10, B12 dan seterusnya B15 bagi memastikan aspek teknikal, kesiapsiagaan industri serta kepentingan pengguna diberi perhatian sepenuhnya.

“Pelaksanaan biodiesel daripada B10 dan akhirnya ke B15 ini bukan sekadar perubahan campuran bahan api, tetapi satu langkah strategik negara dalam usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuhkan keselamatan tenaga negara.
“Kita juga mahu meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit selain membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil yang menjadi antara fokus utama kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 di Putrajaya, hari ini.

Noraini berkata, Malaysia tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil kerana negara memiliki kekuatan tersendiri menerusi industri sawit tempatan.

Katanya, agenda biodiesel turut selari dengan usaha negara menuju penggunaan tenaga hijau, pengurangan karbon dan komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian global.

“Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada bahan api fosil semata-mata kerana kita mempunyai kekuatan sendiri melalui industri sawit negara.
“Setiap peningkatan pengadunan biodiesel bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri sawit, tetapi yang paling penting memberi manfaat kepada ratusan ribu pekebun kecil yang menjadi tulang belakang sektor agrikomoditi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KPK sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk syarikat automotif bagi memastikan pelaksanaan B15 dapat dijalankan secara praktikal dan selamat tanpa membebankan pengguna.

Jelas beliau, perbincangan bersama industri telah diadakan secara konsisten sejak beliau menerajui kementerian itu.

“Kerajaan melalui KPK sentiasa melaksanakan libat urus bersama pihak industri dan hampir setiap minggu kita mengadakan pertemuan dengan pemain industri termasuk sektor automotif.
“Kita mahu memastikan pelaksanaan B15 ini berjalan dengan baik, praktikal, selamat dan yang penting tidak membebankan rakyat,” ujarnya.

Noraini turut menjelaskan keputusan untuk melaksanakan B15 dibuat selepas pihak industri memaklumkan mereka mampu melaksanakan pengadunan tersebut tanpa memerlukan sebarang naik taraf fasiliti.

Tambahnya, langkah itu membolehkan pelaksanaan dilakukan dengan lebih segera.

“Apabila kita membuat keputusan untuk melaksanakan B15, kita telah berbincang dengan pemain industri dan mereka berpandangan pengadunan biodiesel ke B15 boleh dilakukan tanpa perlu menaik taraf fasiliti sedia ada.
“Kita mahu pelaksanaannya dibuat secara segera dan sekiranya perlu menaik taraf fasiliti tertentu, ia tentu memerlukan masa yang lebih panjang,” tambahnya lagi.

Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak 2006 dilaksanakan secara berfasa dan terus diperkukuh sejajar dengan agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Untuk makluman, bekalan diesel di nozel biru akan kekal menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 akan melibatkan bekalan diesel di nozel hitam secara berperingkat mengikut kawasan yang telah ditetapkan.

Scroll to Top