BAM perlu tetapkan semula hala tuju

BAM perlu tetapkan semula hala tuju
BAM perlu tetapkan semula hala tuju

Cabaran Wan Arif-Roy King di Master Malaysia tersekat di separuh akhir selepas tunduk kepada pasangan Denmak, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard. Foto Bernama

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui kempen pemain di bawah naungan badan induk itu pada Masters Malaysia 2026 belum mencapai tahap yang diharapkan, sekali gus menuntut BAM menetapkan semula hala tuju bagi menghadapi cabaran seterusnya.

Beliau berkata, ketika ini alasan tidak lagi boleh dijadikan justifikasi ketika prestasi pemain negara terus menjadi perhatian, sebaliknya semua pihak perlu kembali memberi tumpuan kepada aspek asas termasuk disiplin, konsistensi dan mentaliti untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Pihak yang terlibat perlu melakukan ‘reset’ dengan memberi fokus kepada aspek asas seperti disiplin, konsistensi dan mentaliti untuk bersaing serta menang di pentas tertinggi.

“Penambahbaikan akan dilaksanakan oleh BAM termasuk memperkemas pendekatan latihan dan memperkukuh fokus untuk kejohanan akan datang,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Tengku Zafrul turut mengingatkan setiap pihak termasuk pemain, jurulatih dan pengurusan perlu memikul tanggungjawab masing-masing bagi memastikan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.

“Dalam sukan elit, nama sahaja tak cukup. Prestasi mesti konsisten. Teruskan berjuang. Kita belum selesai,” katanya.

Kali ini tiada mana-mana wakil BAM berjaya melangkah ke final Masters Malaysia selepas pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir di peringkat separuh akhir.

Keputusan tersebut nyata berbeza berbanding edisi lepas apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik.

Untuk edisi kali ini, hanya pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke final namun terpaksa berpuas hati bergelar naib juara selepas tunduk kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Scroll to Top