am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Latar belakang kepimpinan dan pengalaman Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia. (TDM) sekali gus memperkukuhkan kesiapsiagaan angkatan itu sebagai teras utama pertahanan negara.
TDM berkata, pelantikan Azhan sebagai Panglima Tentera Darat Ke-31 yang berkuat kuasa Khamis lalu itu selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November lalu.
Katanya, ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.
“Panglima Tentera Darat ke-31 dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan diberikan.
“Aspek integriti dan tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai ketenteraan yang luhur akan diperkukuhkan sebagai teras kepimpinan beliau selari dengan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan – Strategi Domain Daratan (AMH – SD2) yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
“Di samping itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warganya tetap dipelihara,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, berlangsung Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, di sini.
Majlis disaksikan Pemangku Panglima Angkatan Tentera Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Menurut TDM, Azhan menyeru seluruh warga TDM menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi supaya Tentera Darat terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat.
Azhan, 57, yang dilahirkan di Muar, Johor memulakan kerjaya ketenteraan selepas mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 1987 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989.
Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan penting di peringkat TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus membentuk kepimpinan serta profesionalisme ketenteraan yang kukuh.
Kewibawaan beliau terserlah melalui pelantikan sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 dan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




