Pelarasan harga bahan api dilaksana terkawal, kesejahteraan rakyat terpelihara – Fadillah

Pelarasan harga bahan api dilaksana terkawal, kesejahteraan rakyat terpelihara – Fadillah

Kuala Lumpur: Pelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilaksanakan secara terkawal bagi mencerminkan realiti pasaran global tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan keseimbangan antara tekanan pasaran global dan perlindungan kepada rakyat.

“Kerajaan mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor.

“Hal ini membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas secara masa nyata serta menyelaras tindakan dengan pantas bagi memastikan kestabilan bekalan dan pasaran kekal terpelihara,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi (BUDI95) pada RM1.99 seliter, manakala diesel untuk sektor logistik (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM1.88 hingga RM2.15 seliter.

Bantuan tunai RM300 sebulan (BUDI Diesel) turut diberikan kepada individu layak bagi meringankan kos, berkuat kuasa mulai April 2026.

Fadillah berkata, sektor yang turut bergantung kepada penggunaan bahan api untuk kelangsungan pendapatan seperti nelayan dan agrikomoditi juga menerima bantuan diesel.

“Kerajaan juga mengekalkan had BUDI95 sebanyak 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing bagi memastikan kos operasi mereka kekal terkawal dan tidak dipindahkan secara langsung kepada pengguna,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan terus memantau kesan terhadap kos sara hidup rakyat.

“Bekalan makanan asas kekal mencukupi, pemantauan harga dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan tindakan tegas diambil terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Pendekatan kerajaan adalah jelas iaitu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang ekonomi negara,” katanya.

Jemaah Menteri semalam bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi berkait dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras tindakan dan langkah kerajaan terhadap krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan dipengerusikan Fadillah dengan sesi taklimat atau siaran media diadakan setiap hari kira-kira 4 petang.

Pusat itu akan menyelaras komunikasi bagi pihak kerajaan khusus berkait respons dan langkah yang diambil oleh kerajaan dan badan-badan berkaitan bagi memastikan perkembangan terkini disampaikan secara konsisten kepada rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top