lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kebanjiran pelarian etnik Rohingya dari Myanmar ke negara ini sehingga mewujudkan koloni dan menguasai ekonomi di beberapa kawasan menyebabkan kesabaran rakyat tempatan semakin menipis.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, kemarahan itu bukan berlaku dalam sehari dua, tetapi terkumpul selepas bertahun-tahun melihat pelbagai isu yang membabitkan komuniti Rohingya tanpa penyelesaian yang jelas daripada pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempertikaikan aspek kemanusiaan seperti akses kepada pendidikan dan rawatan kesihatan, namun timbul persoalan apabila segelintir pelarian dilihat mampu menjalankan perniagaan serta memiliki sumber kewangan yang besar walaupun berstatus pelarian.
“Rakyat melihat ada pelarian yang bebas berniaga, bekerja dan memandu kenderaan sehinggakan Aidiladha tahun ini di Selayang, mereka mampu membeli 70 lembu korban yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000 keseluruhan. Mana mereka dapat duit?
“Dalam masa sama, tidak ada garis masa yang jelas mengenai penempatan semula mereka ke negara ketiga atau tindakan lanjut yang akan diambil kerajaan.
“Keadaan ini menyebabkan timbul persepsi bahawa mereka menikmati pelbagai kemudahan tanpa tertakluk kepada peraturan yang sama seperti warga asing lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohd Sophian yang kerap melakukan terjahan di kawasan hotspot Rohingya mendakwa, golongan terbabit menggunakan lesen perniagaan milik warga tempatan atau konsep ‘Alibaba’ dan perkara itu perlu diberi perhatian serius.
“Kalau benar ada rakyat tempatan yang menyewakan lesen atau menggajikan mereka tanpa dokumen kerja yang sah, tindakan perlu diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“Kita tidak menolak soal kemanusiaan, tetapi penguatkuasaan juga mesti dilaksanakan secara adil supaya tidak timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa, pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seakan kebal dari penguatkuasaan.
Katanya, setiap kali Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan komuniti Rohingya ketika operasi, agensi itu terpaksa melepaskan pelarian yang mempunyai kad UNHCR.
“Persepsi ‘tangkap dan lepas’ ini menjadi antara faktor lain menyebabkan masyarakat mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap golongan pelarian ini.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu memperjelaskan dasar dan hala tuju berkaitan pengurusan pelarian di negara ini bagi meredakan keresahan rakyat selain memastikan undang-undang sedia ada dikuat kuasakan secara konsisten,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




