Peluang Inzaghi dinobat legenda terulung Inter Milan

Peluang Inzaghi dinobat legenda terulung Inter Milan

Milan: Simone Inzaghi kini di ambang untuk menempatkan namanya dalam kalangan legenda terulung Inter Milan apabila pasukannya mara ke final Liga Juara-Juara Eropah dengan satu lagi peluang keemasan mencipta kejayaan yang bakal mendefinisikan eranya, sekali gus mengubat kekecewaan kehilangan gelaran Serie A kepada Napoli.

Sejak mengambil alih jawatan pengendali pada 2021, Inzaghi, 48, berjaya mengangkat Inter menjadi salah satu pasukan terbaik Eropah meskipun berdepan cabaran besar di luar padang termasuk masalah kewangan serius dan kekangan bajet perpindahan.

Meskipun menentang Paris Saint-Germain (PSG) yang dibarisi pemain bintang dan disokong dana besar dari Qatar, Inter kendalian Inzaghi dilihat mempunyai peluang lebih cerah berbanding ketika tewas tipis kepada Manchester City di final Istanbul tahun lalu, perlawanan yang menyaksikan Inter hampir mengejutkan barisan terbaik Pep Guardiola.

Musim lalu menyaksikan Inzaghi meraih kejuaraan liga pertama dalam karier kejurulatihannya, namun kegembiraan itu disusuli pengambilalihan kelab oleh firma pelaburan AS, Oaktree, selepas pemilik terdahulu dari China, Suning gagal membayar hutang sekitar 395 juta euro (RM1.89 bilion).

Situasi itu menyaksikan jendela perpindahan yang serba sederhana buat pasukan Nerazzurri, dengan kehadiran pemain seperti Piotr Zielinski dan Mehdi Taremi secara percuma, Josep Martinez berharga 13 juta euro (RM62.5 juta) dan Nicola Zalewski yang dipinjam dari Roma.

Namun, tiada seorang pun daripada empat pemain itu menjadi pilihan utama Inzaghi, malah Taremi hanya menjaringkan dua gol musim ini , kedua-duanya menerusi sepakan penalti ketika menang besar ke atas Red Star Belgrade dan Lecce.

Ketandusan kualiti di bangku simpanan, khususnya di bahagian serangan, serta kempen Liga Juara-Juara yang memenatkan, turut memberi kesan kepada prestasi Inter.

Namun begitu, kejuaraan paling berprestij dalam bola sepak kelab ini bakal menjadi pelengkap gemilang kepada koleksi trofi yang sudah dimenangi Inzaghi bersama Inter iaitu satu gelaran Serie A, tiga Piala Itali dan tiga Piala Super Itali.

Kini, hanya PSG menjadi penghalang terakhir buat Inzaghi untuk mengukir nama dalam sejarah gemilang kelab gergasi Itali itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top