Peluang jadi guru profesional

Peluang jadi guru profesional

suliati@hmetro.com.my

TEKNOLOGI hari ini tidak hanya mengubah cara murid belajar, tetapi pada masa sama memberikan pelbagai cabaran baharu kepada guru yang menuntut mereka menjadi lebih kreatif, celik teknologi dan mampu beradaptasi.

Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah mengakui menjadi pendidik dalam era teknologi ini sememangnya lebih mencabar.

Namun, katanya, era digital ini turut membuka ruang dan peluang besar untuk guru tampil sebagai pendidik profesional.

“Menjadi pendidik hari ini sememangnya lebih mencabar berbanding dulu kerana ekosistem pengajaran sudah banyak berubah akibat kemajuan teknologi digital.

“Ini termasuk perubahan dari segi interaksi guru dengan pelajar, sistem pentaksiran, penyeliaan, pengurusan data dan hubungan dengan ibu bapa,” katanya.

Perubahan pada ekosistem ini menimbulkan banyak cabaran kepada pendidik.

Menurut Dr Adi, antara cabaran utama ialah perubahan pesat dalam bidang teknologi itu sendiri.

“Jika sebelum ini pendidik hanya perlu menguasai kemahiran teknologi yang konvensional, tapi kini kemajuan pesat dan ekosistem teknologi pendidikan sudah banyak berubah.

“Guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu serta kemahiran teknikal supaya mudah mengadaptasi diri dengan perisian, aplikasi dan platform pembelajaran baharu,” katanya.

Akuinya, guru perlu memainkan peranan sebagai pembimbing, pemudah cara, mentor serta pengendali proses pembelajaran yang membabitkan pelbagai sumber, bukan hanya buku teks atau ruang kelas semata-mata.

Dengan perubahan ini, pendidik perlu menguasai pelbagai kemahiran baharu.

Ia bukan hanya membabitkan pedagogi, pembangunan kurikulum, penyelidikan dan pentaksiran pendidikan, tetapi juga kemahiran memupuk pemikiran kritis dan kreatif, menanam rasa empati, serta memperkukuh kecekapan yang relevan dalam dunia abad ke-21.

Dr Adi, dalam konteks ini, pendidik bukan sahaja perlu menguasai kemahiran sosial dan memiliki nilai-nilai insani, tetapi juga dituntut untuk celik teknologi dan mahir dengan aplikasi digital terkini yang mungkin belum pun wujud atau diperkenalkan ketika mereka menjalani latihan pra perkhidmatan.

“Untuk menguasai semua kemahiran ini supaya kekal relevan dan dapat berperanan secara berkesan seperti yang diharapkan anak didik mereka, pendidik perlu belajar sambil bekerja.

“Namun, dalam proses ini, mereka berdepan tekanan untuk menguasai ilmu dan kemahiran teknologi, selain perlu memiliki sendiri peralatan dan perkakasan digital yang terkini.

“Tekanan ini adalah satu cabaran yang perlu ditangani dengan bijak dan memerlukan sokongan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Selain itu, pendidik sekarang juga berdepan dengan pelajar generasi digital yang membesar dengan skrin, media sosial, maklumat yang berada di hujung jari.

“Justeru, pendidik dituntut untuk kreatif dan inovatif supaya mampu serta mempunyai kecekapan dalam menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang kendalian mereka itu menarik sekali gus mendapat perhatian serta mencabar minda kreatif pelajarnya,” katanya.

Untuk guru permulaan (guru muda atau ‘beginning teachers’), Dr Adi berpesan dan mengingatkan bahawa kewibawaan seseorang pendidik tidak hanya dibentuk atau ditentukan oleh penguasaan ilmu dan kemahiran profesional keguruan semata-mata.

“Keikhlasan untuk memberi yang terbaik kepada diri, profesion dan masyarakat, nyata menjulang semangat dan keghairahan untuk perkembangan serta pembangunan profesional berterusan juga adalah penting.

“Untuk bertahan dalam profesion ini, harus diingat kita sedang dan perlu terus-terusan belajar.

“Oleh itu, jangan takut mencuba dan jangan bekerja sendirian. Bekerjalah secara berpasukan dan ikhlas mendapat bantuan serta sokongan dari rakan sejawat atau yang lebih senior.

“Hargai juga pengalaman guru kanan dan mohon tunjuk ajar daripada mereka,” katanya.

Sempena Hari Guru, Dr Adi turut mengingatkan kepada semua pendidik pentingnya menghargai kehadiran dan kewujudan diri sebagai pendidik yang profesional.

“Sentiasalah menganggap profesion keguruan ini satu perjuangan. Bukan sekadar mengajar mata pelajaran, tetapi juga sebagai jihad membentuk jiwa dan membina insan demi kelangsungan individu serta masyarakat yang bermaruah,” katanya.

Sementara itu, guru muda, Nur Aina Zafirah Mohammad Nor Azam, 25, tetap memilih kerjaya sebagai guru walaupun menyedari cabarannya kerana, baginya seorang guru itu tidak hanya sekadar individu yang menyampaikan ilmu kepada anak murid bahkan lebih daripada itu.

Katanya, guru itu juga bukan hanya adalah seorang mua’llim, tetapi juga mudarris, muaddib, murabbi dan mursyid.

“Seorang guru bukanlah hanya menyampaikan fakta di dalam kelas semata-mata, guru juga berperanan untuk membentuk sahsiah dan akhlak, menyalakan semangat pembelajaran dengan penuh kasih sayang.

“Oleh itu saya sangat bersyukur kerana Allah melorongkan perjalanan menjadi pendidik dan meyakinkan saya bahawa profesion ini yang serasi dengan jiwa saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top