Peluasan perkhidmatan rentas sempadan bantu tingkat pendapatan pemandu teksi

Peluasan perkhidmatan rentas sempadan bantu tingkat pendapatan pemandu teksi

PELUASAN perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura yang bermula semalam menerima sambutan baik daripada pemandu teksi tempatan yang menyifatkan dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Tinjauan di sekitar Larkin, Johor Bahru mendapati rata-rata pemandu positif terhadap usaha kedua-dua negara yang bukan sahaja membantu para pemandu, malah memudahkan perjalanan dan meningkatkan keselamatan pelanggan.

Pemandu teksi, P Mohan, 62, yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri itu, termasuk tiga tahun membawa penumpang ke Singapura, berkata penambahbaikan berkenaan memudahkan pergerakan penumpang kerana mereka kini boleh dihantar terus ke destinasi di republik itu.

Peningkatan kadar berbanding sebelum ini turut memberi kelegaan kepada pemandu untuk menampung kos operasi.

“Memang bagus. Sekarang ini lebih cepat dan mudah, kita boleh hantar penumpang ke mana-mana lokasi di Singapura. Pelanggan juga lebih selamat kerana kita boleh hantar terus ke rumah mereka.

“Dulu kira-kira RM120, sekarang boleh mencecah RM240. Ada peningkatan, jadi boleh menampung kos minyak dan penyelenggaraan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi pemandu teksi, Mohd Riduan Tunggal, 60, berkata, meskipun peluasan baru dua hari, namun dia yakin peningkatan tambang berpotensi menambah pendapatan pemandu.

“Pendapatan mungkin meningkat sedikit, bergantung kepada jumlah penumpang. Sambutan seperti biasa. Mungkin kerana hari bekerja dan orang ramai belum banyak bergerak,” katanya yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai pemandu teksi.

Peluasan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia bertujuan memudahkan urusan perjalanan orang ramai, di samping memastikan persaingan yang lebih adil serta penguatkuasaan yang lebih berkesan. Foto: Bernama

Peluasan perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia bertujuan memudahkan urusan perjalanan orang ramai, di samping memastikan persaingan yang lebih adil serta penguatkuasaan yang lebih berkesan. Foto: Bernama

Sementara itu, Raja Afandi Raja Ismail, 53, yang menjadi pemandu teksi sejak 2004 berkata, usaha penyelarasan antara kedua-dua negara ialah langkah positif dalam memastikan sistem lebih adil kepada pemandu.

“Dahulu sistem berbeza antara Malaysia dan Singapura, sekarang lebih tersusun. Kita boleh hantar penumpang terus ke rumah mereka di Johor Bahru atau Singapura,” katanya.

Namun, Raja Afandi mengakui kenaikan tambang memberikan kesan kepada penumpang harian.

“Jika dahulu RM120, kini RM240. Bagi penumpang harian, memang terasa, terutama yang berkongsi tambang,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut melahirkan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) oleh Singapura yang dijangka tahun hadapan bakal memberikan kesan kepada pendapatan pemandu.

Perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia diperluas bermula semalam, membolehkan teksi berlesen beroperasi dengan lebih fleksibel di kedua-dua negara dalam usaha memudahkan perjalanan, selain memastikan persaingan adil dan penguatkuasaan yang berkesan.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, kementerian pengangkutan Singapura dan Malaysia memaklumkan, langkah itu mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan perjalanan rentas sempadan yang selamat dan boleh dipercayai, di samping melindungi pemandu tempatan daripada perkhidmatan haram. – Bernama

Scroll to Top