Pemain Argentina dilabel 'samseng', cemar imej bola sepak

Pemain Argentina dilabel 'samseng', cemar imej bola sepak

London: Pengacara terkenal Britain, Piers Morgan mengetuai kecaman terhadap pemain Argentina yang disifatkannya sebagai ‘samseng’ susulan kekalahan kepada Sepanyol pada final Piala Dunia.

Suasana bertukar kecoh sejurus Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 selepas masa tambahan apabila pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, terbabit dalam pergaduhan.

Paredes hilang kawalan apabila berlari dan menolak pertahanan Sepanyol, Eric Garcia, sehingga terjatuh.

Ketika pemain kedua-dua pasukan mengerumuni insiden itu, Paredes kemudian mengasari Gavi dengan menarik pemain tengah itu sebelum memukulnya ketika masih berada di atas padang.

Pengadil Slavko Vincic tidak teragak-agak melayangkan kad merah terus kepada Paredes biarpun perlawanan sudah pun tamat.

Morgan, yang juga penyokong Arsenal dan England, meluahkan rasa marah menerusi platform X.

“Perangai pemain Argentina pada penghujung perlawanan sangat memalukan, terutama Paredes.

“Mereka hanyalah sekumpulan samseng yang ganas dan mencemarkan imej bola sepak. Saya tidak pernah begitu gembira melihat sesebuah pasukan tewas,” tulisnya.

Argentina sebelum itu turut mencetuskan kemarahan penyokong England selepas aksi separuh akhir apabila Valentin Barco dan Cristian Romero meraikan jaringan di depan pemain England.

Malah, mereka turut meraikan kemenangan itu dengan membentangkan kain rentang berkaitan Kepulauan Falkland, yang terus menjadi isu sensitif antara Argentina dan Britain.

Susulan kemenangan Sepanyol, ramai penyokong lain turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Argentina di media sosial.

Seorang pengguna menulis: “Mereka tidak sepatutnya dibenarkan bertanding dalam kejohanan seperti ini lagi.”

Seorang lagi berkata: “Pasukan yang memalukan! Kemenangan Sepanyol adalah keputusan terbaik untuk bola sepak.”

Manakala seorang lagi menyifatkan: “Tiada tempat untuk tingkah laku seperti itu dalam bola sepak.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top