JKDM Sarawak gagalkan dua cubaan seludup dadah bernilai RM1.32 juta

JKDM Sarawak gagalkan dua cubaan seludup dadah bernilai RM1.32 juta

am@hmetro.com.my

Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan dua cubaan menyeludup masuk dadah bernilai keseluruhan RM1.32 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dengan penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah.

Pengarahnya, Datuk Norizan Yahya berkata, dua suspek berkenaan ditahan dalam operasi Cawangan Narkotik JKDM pada 9 Julai lalu selepas tiba menerusi penerbangan domestik dari Johor Bahru.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dikesan bertindak mencurigakan sejurus mengambil bagasi masing-masing apabila menanggalkan tag bagasi bagi mengelakkan identiti mereka dikaitkan dengan bagasi membawa dadah berkenaan.

“Dalam kes pertama kira-kira jam 9.10 malam, seorang lelaki tempatan ditahan selepas dilihat membawa bagasinya ke dalam tandas berhampiran ruang ketibaan sebaik menanggalkan tag bagasi.

“Pemeriksaan ke atas bagasi itu menemukan 13 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi methamphetamine seberat 13.2 kilogram dengan nilai dianggarkan RM660,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 10 minit kemudian, pasukan sama menahan seorang lagi lelaki tempatan yang tiba dengan penerbangan sama selepas turut bertindak menanggalkan tag bagasi sebelum menyembunyikannya di dalam seluar.

“Hasil pemeriksaan menemukan 13 bungkusan teh Cina mengandungi methamphetamine seberat 13.178 kilogram serta 83 biji pil eramin 5.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam kes kedua dianggarkan RM660,560,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan JKDM merampas hampir 26.4 kilogram methamphetamine dan 83 biji pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM1,320,560.

Norizan berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan penerbangan domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sebagai modus operandi untuk membawa masuk dadah selain menanggalkan tag bagasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebagai pemilik bagasi berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top