Santa Clara, California: Jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella berkata kritikan keras yang diterima selepas kekalahan pada aksi pembukaan Piala Dunia menentang Australia memberi kesan kepada moral pemain muda pasukannya, dan mereka sepatutnya menerima lebih banyak sokongan menjelang perlawanan penting menentang Paraguay.
Turkiye yang sebelum kejohanan dianggap antara pasukan pilihan untuk mencabar Amerika Syarikat (AS) bagi merebut kedudukan teratas Kumpulan D, dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Australia.
Satu lagi kekalahan kepada Paraguay esok boleh menjejaskan peluang mereka dalam kejohanan berprestij itu.
Montella berkata beliau menjangkakan sedikit rasa tidak puas hati selepas kekalahan di Vancouver, namun terkejut dengan reaksi yang diterima hanya selepas satu perlawanan.
“Ia tidak mengganggu saya kerana saya lebih berusia dan mampu mengabaikannya, tetapi ramai pemain kami baru berusia sekitar 20 tahun.
“Mereka masih muda dan boleh terkesan dalam situasi seperti ini.
“Saya fikir kritikan yang datang dari negara kami agak keras dan dalam beberapa hari kebelakangan ini ia benar-benar memberi kesan kepada moral pemain.
“Mereka manusia, bukannya robot atau mesin. Jadi mereka terkesan dengan reaksi yang keterlaluan daripada sesetengah pihak,” katanya kepada media.
Montella berkata adalah mustahil untuk melindungi pemain sepenuhnya daripada reaksi di media sosial, namun pihaknya cuba membawa pemain keluar daripada tekanan bola sepak dengan menjemput ahli keluarga mereka ke kem latihan semalam.
“Kami menikmati dua jam yang sangat menyeronokkan. Dua jam di mana kami langsung tidak memikirkan apa yang perlu dilakukan di atas padang esok,” katanya.
Dengan Paraguay turut dibelasah 1-4 oleh tuan rumah bersama AS dalam aksi pembukaan di Los Angeles, kedua-dua pasukan pasti terdesak untuk mengutip mata.
Situasi kumpulan juga akan menjadi lebih jelas selepas perlawanan AS menentang Australia lebih awal pada hari yang sama.
Montella berkata beliau mungkin melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, namun ia hanya atas faktor taktikal dan bukan disebabkan prestasi pemain.
Beliau turut menegaskan kemajuan bola sepak Turkiye sepanjang tiga tahun lalu tidak seharusnya dipadam hanya kerana satu kekalahan.
“Pemain yang tidak diturunkan bukan bermakna mereka harus dipersalahkan.
“Pasukan ini sudah mencatat banyak keputusan hebat dalam tempoh tiga tahun lalu dan saya fikir kami berhak mendapat sedikit lagi penghormatan, walaupun kami boleh melakukan dengan lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




