‘Saya tumpang rezeki legasi Tun Razak’

‘Saya tumpang rezeki legasi Tun Razak’

SHAH ALAM – “Saya tumpang rezeki legasi Tun Razak.”

Demikian pengakuan bekas pengawal peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang pada 14 April lalu.

Menurut Datuk Alias Yahya, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu adalah hasil khidmatnya bersama keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Alias berkata, beliau tidak pernah menyangka akan menerima anugerah berkenaan dan menyifatkannya sebagai rezeki hasil kepercayaan diberikan sepanjang berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Saya tumpang sahaja, tumpang rezeki legasi Tun Razak.Alhamdulillah, saya tidak sangka dapat anugerah ini. Saya tidak pernah diberi bayangan atau petunjuk sebelum ini,” katanya dalam program podcast Terus Terang Sinar Harian yang dikendalikan Zaid Adnan dan Farah Wahidah Ab Aziz, baru-baru ini.

Alias bersama isteri selepas menerima DIMP dikurniakan Sultan Pahang.

Alias bersama isteri selepas menerima DIMP dikurniakan Sultan Pahang.

Menurut Alias, dia dimaklumkan mengenai penganugerahan itu selepas dipanggil adik Najib, Tan Sri Nazir Razak sebelum dimaklumkan namanya disebut Sultan Pahang.

Beliau berkata, surat penganugerahan itu turut ditunjukkan kepada Najib ketika mereka bertemu di mahkamah.

“Saya tunjuk kepada Datuk Seri Najib. Beliau antara orang pertama yang saya beritahu sebelum orang lain,” ujarnya.

Berkongsi keakraban bersama keluarga Najib, beliau berkata, hubungan terjalin bukan sekadar antara majikan dan pengawal peribadi, malah turut rapat dengan seluruh keluarga bekas Presiden UMNO itu.

Katanya, anak-anak Najib terutama Yana dan Ashman membesar di hadapannya dan sehingga kini masih memanggilnya dengan gelaran ‘uncle’.

“Saya kenal mereka (anak-anak Najib) sejak mereka kecil lagi dan hingga sekarang kami masih berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Scroll to Top