Pemain remaja tunjuk taring

Kuala Lumpur: Kejutan berlaku daripada pemain remaja kebangsaan dalam saingan hari pertama 100Plus Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir 2020 semalam.

Ong Ken Yon dan Justin Hoh beraksi cemerlang apabila mencipta dua kemenangan untuk mendominasi carta perseorangan lelaki.

Ken Yon mengejutkan Lee Shun Yang 21-19, 21-16 pada perlawanan sesi pagi disusuli kemenangan ke atas Ter Chun Long juga dengan kemenangan straight set 21-16, 21-13.

“Saya tidak fikir perkara lain selain menumpukan sepenuhnya terhadap permainan saya. Sudah tentu peluang ini saya akan manfaatkan dengan sebaiknya untuk saya tunjukkan kepada barisan kejurulatihan. Saya fikir pemain-pemain senior akan lebih tertekan dalam pertandingan ini, justeru saya hanya tumpukan permainan saya sahaja”, kata Ken Yon.

Dalam pada itu, Justin Hoh juga cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Wyman Goh 13-21, 21-17, 21-17 sebelum menutup hari pertama dengan kemenangan 100 peratus apabila turut menang ke atas Lee Shun Yang dalam aksi tiga set 13-21, 21-16,21-11.

“Hari ini (semalam) lawan saya tiga tahun lebih tua daripada saya. Ia bukan masalah kerana ketika di gelanggang saya hanya tumpukan corak permainan sendiri. Walaupun masih berusia 16 tahun, saya mahu buktikan kepada jurulatih, saya mampu untuk tewaskan pemain-pemain senior. Bukan mudah untuk kalahkan mereka tetapi saya akan berikan yang terbaik sepanjang perlawanan”, kata Justin.

Saingan perseorangan perempuan pula diungguli pemain senior apabila Eoon Qi Xuan dan K Letshaana berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Eoon Qi Xuan tidak berdepan masalah menundukkan Tan Zhing Ying straight set 21-10, 21-8 sementara K Letshaana juga melakar kemenangan straight set 21-18, 21-17 ke atas Myisha Mohd Khairul.

“Lawan saya hari ini (semalam) adalah pemain remaja dan dia (Tan Zhi Ying) kurang dari segi kekuatan”, kata Eoon Qi Xuan.

Sementara itu, aksi beregu lelaki dikuasai gandingan Choong Hon Jian-Nur Firdaus Azman dan pasangan Lwi Sheng Hao-Yap Roy King yang berjaya melakar kemenangan dalam aksi pembukaan semalam.

Choong Hon dan Nurfirdaus sukar untuk ditandingi beregu muda dalam pembikinan, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe namun dipaksa beraksi tiga set sebelum menang 16-21, 21-15, 21-16.

Lwi Sheng Hao-Yap Roy King juga dipaksa bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan pertama dengan menundukkan Muhd Haikal-Wan Muhd Arif dengan keputusan 21-17, 18-21, 21-18.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk