Nasihat Ziyad untuk Atlet Remaja

Kuala Lumpur: Meskipun beraksi bersama atlet normal yang lain, pencapaian atlet paralimpik negara iaitu Ziyad Zolkefli begitu jauh meninggalkan atlet remaja.

Pencapaiannya kini sukar dikejar dan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu semakin selesa bergelar atlet lontar peluru nombor satu Malaysia.

Malah, dia membuktikan mampu mengukir sejarah apabila meraih pingat emas acara lontar peluru pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand di Kompleks Sukan Universiti Thammasat di Bangkok pada 2017 dan turut meraih pingat perak di Sukan Sea Filipina 2019 dengan catatan 17.03m.

Bagaimanapun, atlet berumur 30 tahun itu menasihatkan atlet muda untuk tidak berputus asa dan terus mencuba.

Katanya, dia berharap atlet negara terus bermotivasi untuk berusaha mengejar cita-cita dan jangan sesekali berputus asa sama seperti dirinya yang mahu terbaik untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

“Biarpun jarak antara atlet junior sekarang ini jauh, tapi saya harap mereka terus berusaha. Teruskan impian jangan pernah putus asa. Disiplinkan diri untuk kejar impian sampai ke satu tahap yang anda semua inginkan”, katanya.

Untuk rekod, Ziyad adalah pemegang rekod para dunia yang dilakukan ketika Kejohanan Para Dunia di London pada 2017 dengan catatan 17.29m mengatasi pencapaian yang direkodkan ketika meraih emas di Olimpik Rio 16.84m pada 2016.

Tetapi, rekod kebangsaan masih kekal milik bekas atlet negara iaitu Adi Alifuddin Hussin yang melakukan lontaran 17.54m pada Sukan Sea Palembang Indonesia 2011.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk