Itali mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara

Sarajevo: Itali mempamerkan satu lagi prestasi mengagumkan apabila mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara dan meneruskan rekod tanpa kalah kepada 22 perlawanan dengan kemenangan 2-0 kepada Bosnia semalam.

Andrea Belotti memecah kebuntuan pada minit ke-22 dan Domenico Berardi menambah gol kedua dengan rembatan voli menakjubkan pada separuh masa kedua untuk mengesahkan Itali sebagai juara Kumpulan A1 dengan 12 mata daripada enam perlawanan.

Itali beraksi sekali lagi tanpa jurulatih, Roberto Mancini selepas beliau disahkan positif COVID-19 dan beberapa pemain utama yang terpalit dengan isu sama termasuklah pertahanan berpengalaman, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci serta penyerang sensasi mereka, Ciro Immobile.

Bosnia pula yang sudahpun tersingkir daripada Liga A bermain tanpa Ibrahim Sehic, Sead Kolasinac dan Edin Dzeko selepas mereka semua disahkan positif COVID-19.

“Jurulatih mahu kami bermain cara bola sepak kami walaupun ke mana sahaja kami pergi dan itu adalah mentaliti yang kami benar-benar ambil”, kata pemain sayap Itali iaitu Lorenzo Insigne.

“Baju ini mesti dihormati setiap masa dan kami memberikan yang terbaik untuk Itali”, katanya lagi.

Kesilapan terbesar Itali adalah kegagalan Belotti memanfaatkan dua peluang awal untuk menjaringkan gol sebelum akhirnya dia meletakkan Itali di depan.

Gol kedua Itali terhasil apabila Manuel Locatelli mengangkat bola mengatasi pertahanan Bosnia untuk mencari rakan sepasukannya di Sassuolo, Berardi dengan bola yang jatuh di atas bahunya membolehkan pemain itu melepaskan rembatan voli ke dalam gawang.

Itali yang akan menjadi hos di pusingan akhir Liga Negara-Negara tahun hadapan akan merebut trofi kejohanan berkenaan bersama Belgium, Perancis dan Sepanyol.

Pada edisi pertama lalu, Portugal dinobatkan sebagai juara sulung selepas menewaskan Belanda di peringkat akhir.

Akmal Hakim
Sports Desk