'Pemain sangat gementar ketika beraksi' – Amorim

'Pemain sangat gementar ketika beraksi' – Amorim

London: Ruben Amorim mungkin tidak sepenuhnya tepat dari segi sejarah apabila melabel pasukan Manchester United pimpinannya sebagai “mungkin pasukan terburuk” dalam sejarah kelab itu, tetapi kenyataan mengejutkan itu mendedahkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi pengurus itu.

Amorim memberi respons terhadap kekalahan memalukan 1-3 di laman sendiri kepada Brighton, awal pagi tadi, dengan menyifatkan barisan pemainnya antara yang terburuk dalam sejarah gemilang kelab itu.

United kini berada di kedudukan ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan sudah mengalami siri kekalahan memalukan sejak Amorim tiba dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu.

Walaupun sudah bergelut sebelum pelantikannya, United terus terumbang-ambing di bawah kendalian jurulatih dari Portugal itu.

Mereka hanya meraih keputusan positif seperti keputusan seri di Liverpool dan kemenangan Piala FA ke atas Arsenal walaupun beraksi dengan 10 pemain.

United sudah tewas enam perlawanan liga di laman sendiri musim ini, jumlah tertinggi mereka daripada 12 perlawanan pembukaan sejak kempen 1893-94.

Dipandang sebagai salah seorang jurulatih muda paling cemerlang selepas kejayaan bersama Sporting, Amorim kini mula memahami mengapa United sudah 12 tahun gagal memenangi gelaran liga sejak kali terakhir pada 2013.

“Pemain kami sangat gementar ketika bermain. Apabila anda turun ke padang, anda ingat ia perlawanan terakhir di sini.

“Jika saya rasa begitu, pemain juga pasti merasainya. Satu-satunya cara adalah terus berusaha dan memenangi perlawanan. Itulah satu-satunya jalan untuk memperbaikinya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top