TINDAKAN Aryna Sabalenka memukul bola ke arah penonton sebelum memecahkan raket ketika final Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu akhirnya membawa padah apabila pemain Belarus itu dikenakan denda AS$7,500 (RM30,450).
Insiden berkenaan berlaku selepas Sabalenka gagal mengekalkan kejuaraan di Flushing Meadows apabila tewas 4-6, 7-5, 2-6 kepada Elena Rybakina, sekali gus menyaksikan rekod 20 kemenangan berturut-turutnya di kejohanan itu terhenti.
Kekecewaan Sabalenka difahami selepas dia hadir dengan misi memburu kejuaraan Terbuka AS buat kali ketiga berturut-turut, namun impian itu dinafikan Rybakina yang tampil lebih agresif sepanjang perlawanan.
“Sangat sukar untuk mengawal emosi apabila anda tewas pada final Grand Slam dan pada masa sama cuba memburu kejuaraan tiga kali berturut-turut.
“Saya cuma mahu melepaskannya kerana jika saya pendam semua itu, saya tidak akan mampu berkata apa-apa. Saya mungkin akan bertindak dengan cara yang tidak begitu baik di situ.
“Saya cuma mahu melepaskan semua kemarahan dan kekecewaan itu,” katanya.
Sabalenka turut memberikan pengiktirafan kepada Rybakina yang disifatkannya beraksi lebih baik dalam pertemuan terbabit.
“Dia bermain dengan sangat agresif dan hebat. Dia sememangnya pemain lebih baik daripada saya hari ini,” katanya.
Kejayaan Rybakina bukan sekadar menafikan hasrat Sabalenka mencipta hatrik, malah membolehkan pemain Kazakhstan itu merampas kedudukan nombor satu dunia selepas muncul juara Terbuka AS buat kali pertama.
Gelaran itu juga menjadi Grand Slam ketiga buat Rybakina, manakala Sabalenka terlepas peluang menyamai pencapaian Serena Williams dan Chris Evert yang masing-masing pernah memenangi Terbuka AS tiga tahun berturut-turut.
Sebagai rekod, Sabalenka sebelum ini menguasai ranking dunia selama 99 minggu.
