Pemaju perumahan dibenar beroperasi pada Fasa 1, 2 PPN

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sektor Pemajuan Perumahan kini dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa serta merta.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.

Katanya, kebenaran beroperasi itu adalah terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Kenyataan itu menyebut, pada Fasa 1, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah, kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period) dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4.

Sementara itu, di bawah Fasa 2, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, ejen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah ‘subsale’.

“Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini Sektor Pemajuan Perumahan yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT di https://www.kpkt.gov.my.

“SOP pembinaan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) ini juga boleh dimuat turun di www.cidb.gov.my dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, KPKT juga memaklumkan pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4493/4494.

© New Straits Times Press (M) Bhd