am@hmetro.com.my
Tawau: Pemandu lori balak didenda RM15,000 dan penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tujuh tuduhan termasuk memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Merotai-Kalabakan di sini, minggu lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum memutuskan demikian selepas Tonny Chong, 37, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 43(1), Seksyen 26 (1), Seksyen 56(1); Seksyen 90(1) dan Seksyen 15(1)A dan Seksyen 66A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain Kaedah 19 LN166/59.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Merotai-Kalabakan di sini, 19 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Joan memohon hukuman setimpal mengambil kira kes itu serius yang mana tertuduh memandu tanpa lesen GDL, selain lori digunakan tidak mempunyai cukai jalan dan tiada perlindungan polisi insuran sejak tiga tahun lalu.
“Kemalangan telah menimbulkan implikasi kewangan yang tinggi kepada pemilik kenderaan yang rosak teruk selain kesan trauma terhadap isteri pemandu yang mengandung 29 minggu,” katanya.
Tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan gaji dibayar RM120 mengikut trip sehari, selain dia juga mempunyai tanggungan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen dalam tempoh 12 bulan dan lesen memandu percubaan kelas D tertuduh dibatalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



