Pemandu pacuan 4 roda maut tercampak dalam nahas jalan raya

Pemandu pacuan 4 roda maut tercampak dalam nahas jalan raya

Seremban: Seorang lelaki warga tempatan maut akibat tercampak selepas pacuan empat roda dipandunya terbabit nahas di Kilometer 276, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu, 6.50 pagi dan mangsa berusia 20-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala rakannya cedera.

“Siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakan lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Bangsar menghala ke Seremban sebelum kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang di kanan jalan.

“Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum merempuh bahagian belakang kereta dipandu lelaki berusia 40-an bersama isteri dan dua anak berumur belasan tahun dari Seri Kembangan menghala Johor, yang berada di lorong kedua dari kanan, sebelum terbalik,” katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, akibatnya, mangsa tercampak sebelum dihempap oleh kenderaannya, manakala rakannya selamat.

Abdul Malik berkata, penumpang kereta yang berada di bahagian belakang tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba, manakala pemandu dan penumpang hadapan keluar sendiri.

Mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top