Shah Alam: Seorang pembantu kedai cedera selepas sebuah kereta merempuh premis menjual kuih di Taman Berkeley, Klang, dekat sini kira-kira 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pemandu wanita berumur awal 50-an yang tersalah masuk gear dan tertekan pedal minyak ketika ingin keluar dari petak tempat letak kereta di hadapan kedai itu selepas selesai membeli barang.
“Akibat kejadian ini, pemandu kereta telah dibawa ke Pusat Perubatan Sunway untuk rawatan lanjut, manakala pembantu kedai wanita berusia awal 30-an dibawa ke Hospital KPJ Klang untuk rawatan kecederaan ringan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramsay dalam kenyataan sama memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara Inspektor Kishen Raj menerusi talian 011-26249291.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Semalam, tular di media sosial gambar yang memaparkan sebuah kedai yang rosak di bahagian depan dipercayai akibat dilanggar oleh sebuah kereta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




