latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan di tapak insiden kemalangan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan dijalankan selepas mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Projek Lintasan Kota Holding Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, proses berkenaan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu bergantung kepada tarikh kelulusannya.
“Ia mengambil kira segala proses teknikal, penyataan kaedah kerja, cuaca, aspek keselamatan dan keadaan struktur sedia ada.
“Antara fokus utama adalah memastikan struktur rasuk lebuh raya dapat distabilkan sebelum kerja pengalihan kren gantri yang masih berada di struktur portal lebuh raya pada ketinggian 40 meter dibuat.
“Ia perlu melalui proses pemotongan kepada beberapa bahagian kecil sebelum dibawa turun,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu juga berkata, pemerhatian yang teliti harus dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pihak yang berkaitan.
“Ini termasuk keselamatan penduduk terutama yang tinggal di Kondominium Puncak Banyan dan pekerja di tapak pembinaan.
“Kerja ini membabitkan jurutera perunding profesional, pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), JKKP dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.
Isnin lalu, komponen kren gantri di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang sedang dalam pembinaan jatuh dan menimpa sebuah kereta Perodua Bezza.
Kejadian itu menyebabkan tiga pekerja asing warga China, iaitu Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng yang dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaraan kren maut, manakala pemandu kereta warga tempatan dan dua lagi pekerja asing cedera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




