Warga emas hilang 6 hari ditemui di belukar

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang hilang dari rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran belukar hari ini.

Che Som Ibrahim, 69, ditemui oleh seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berdekatan belukar di tepi jalan simpang Desa Permai, Batu 4 Jalan Tampin-Gemas dekat sini kira-kira pukul 2.45 petang tadi.

Menurut laporan Utusan Malaysia, ketika kejadian, pekerja lelaki berkenaan ingin melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, sebaik ditemui, lelaki berkenaan segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam kawasan semak belukar terbaring tidak bermaya, namun dalam keadaan sedarkan diri.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tampin oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi penemuan berkenaan, katanya dipetik dari laporan yang sama.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan keluarga Che Som memohon orang ramai membantu dalam usaha pencarian warga emas itu yang hilang dari rumahnya sejak 20 Mac lalu.

Menurut salah seorang anak mangsa, Che Som kini stabil tetapi dalam keadaan lemah.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Di mana Che Som?