Pembangkang gesa Sidang DUN Khas bentang laporan jawatankuasa krisis

Pembangkang gesa Sidang DUN Khas bentang laporan jawatankuasa krisis

IPOH – Pembangkang Perak menggesa kerajaan negeri mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas bagi membentangkan laporan Jawatankuasa Khas Impak Krisis yang ditubuhkan susulan kebimbangan terhadap kesan ketidaktentuan global pasca konflik Asia Barat terhadap negeri.

Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri menjelaskan pelan tindakan segera selain mempertimbangkan keperluan membawa usul bajet tambahan untuk dibahaskan.

Menurutnya, perkembangan semasa menunjukkan majoriti pengilang di negara ini sedang berdepan tekanan ketara termasuk peningkatan kos logistik, gangguan rantaian bekalan, kekurangan bahan mentah dan masalah aliran tunai.

“Data Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan 72 peratus daripada 225 pengeluar melaporkan keadaan operasi semakin merosot sejak awal April lalu susulan krisis Asia Barat.

“Malah, hampir 48 peratus pengilang mula mengurangkan pengeluaran, manakala 28 peratus syarikat telah atau sedang merancang pelarasan tenaga kerja akibat tekanan kos dan permintaan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Razman berkata, situasi itu memberi isyarat jelas bahawa Perak tidak terkecuali memandangkan negeri ini mempunyai ekosistem industri penting melibatkan sektor pembuatan, automotif, elektrik dan elektronik (E&E), logam, makanan dan minuman serta industri sokongan yang bergantung kepada kestabilan rantaian bekalan global.

Menurutnya, jika kerajaan negeri terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat, rakyat bakal berdepan kesan langsung termasuk pemberhentian pekerja, pengurangan gaji, peningkatan kos sara hidup serta penyusutan peluang pekerjaan baharu terutama dalam kalangan belia.

“Apabila sektor industri melemah, yang paling awal menerima tempias ialah pekerja biasa, vendor kecil, kontraktor tempatan dan peniaga kecil yang bergantung kepada kuasa beli pekerja kilang.

“Isu ini bukan isu politik sempit, tetapi soal periuk nasi rakyat. Kerajaan negeri wajib memimpin dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Krisis Industri Perak melibatkan kerajaan negeri, FMM, wakil industri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kesatuan pekerja dan pakar ekonomi bagi memantau situasi sebenar serta merangka respons pantas.

Razman turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah mengadakan libat urus rasmi dengan pihak industri dan kesatuan pekerja selain mahu mengetahui jumlah syarikat di zon perindustrian Perak yang sudah melaporkan pengurangan operasi atau masalah bekalan.

“Kami daripada pihak pembangkang negeri Perak akan terus memainkan peranan semak dan imbang dengan tegas, matang dan berprinsip.

“Kami bersedia menyokong sebarang langkah kerajaan yang benar-benar melindungi rakyat dan pekerjaan namun kami tidak akan berdiam diri jika kerajaan terus lalai dan gagal bertindak,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan penubuhan dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi menangani impak krisis global terhadap ekonomi dan rakyat di negeri ini.

Dua jawatankuasa yang dimaksudkan ialah Jawatankuasa Khas Impak Krisis yang dipengerusikan Saarani sendiri serta Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

 

Scroll to Top