Pembantu rumah didakwa dedahkan bayi 4 bulan pada kecederaan fizikal

Pembantu rumah didakwa dedahkan bayi 4 bulan pada kecederaan fizikal

am@hmetro.com.my

Melaka: Pembantu rumah warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, awal bulan ini.

Tertuduh, Emi Oktaviani,40, yang tidak diwakili peguam bela bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Kes berkenaan didengar Hakim Rohatul Akmar Abdullah manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai seorang yang mempunyai pemeliharan ke atas seorang bayi perempuan berusia empat bulan didapati mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kesidang 3/11, Kampung Lapan, dekat sini, pada 4 November lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa serta serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 18 Disember depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top