Pembiayaan untuk syarikat pemula naik ketara tahun lalu – MOSTI

Pembiayaan untuk syarikat pemula naik ketara tahun lalu – MOSTI

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapati berlakunya peningkatan ketara dalam jumlah pembiayaan geran peringkat awal bagi syarikat pemula berpotensi tinggi pada 2023 menerusi inisiatif Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.

Katanya Cradle Fund Sdn Bhd sebagai contoh, telah meluluskan geran peringkat awal sebanyak RM18.5 juta pada tahun lalu berbanding RM12.5 juta pada 2022.

Sebanyak 77 syarikat pemula (startup) teknologi berpotensi tinggi telah menerima manfaat daripada geran yang ditawarkan oleh Cradle pada 2023, berbanding 49 syarikat pada 2022, kata kementerian itu dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tan meminta MOSTI menyatakan pencapaian terkini usaha-usaha yang dilaksanakannya bagi melonjakkan ekosistem syarikat pemula negara dan mewujudkan syarikat pemula yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kementerian itu menjelaskan SUPER yang dilancarkan pada November 2021, menggariskan 16 intervensi merentasi lima bidang utama iaitu pembiayaan, bakat, inovasi, dasar dan peraturan serta ekosistem pasaran yang menjadikannya pelan induk yang komprehensif untuk pembangunan ekosistem startup negara.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh MOSTI seperti program pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran serta inisiatif-inisiatif pembangunan ekosistem bersepadu.

Justeru, katanya kerajaan sedang melaksanakan intervensi menyeluruh bagi memastikan syarikat-syarikat pemula berpotensi tinggi terus berkembang maju menerusi pembiayaan dari peringkat ‘pre-seed’ (peringkat awal) sehingga peringkat tawaran awam permulaan (IPO).

Pada masa yang sama syarikat-syarikat yang telah diberi fasilitasi dan pendanaan akan dilibatkan juga dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI).

“Ini akan memastikan pengembangan kepada akses pasaran terutamanya kepada projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibiayai oleh kerajaan,” kata MOSTI.

Dalam pada itu, MOSTI memaklumkan sejak portal MYStartup dilancarkan pada 2022, bilangan syarikat pemula berdaftar di portal itu meningkat sebanyak 42.7 peratus, dengan 3,911 syarikat pemula berdaftar direkodkan pada 2023 berbanding 2,741 pada tahun sebelumnya.

Katanya portal itu turut sedang dinaik taraf sebagai sumber maklumat tunggal yang mengintegrasikan program-program merentas kementerian atau agensi termasuk program pembiayaan dan pembangunan syarikat pemula melalui koordinasi menyeluruh dan bersepadu untuk manfaat syarikat pemula, pelabur mangkin dan kerajaan,” katanya. – BERNAMA