Kuala Lumpur: Perjuangan reformasi perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dilihat dan dirasai rakyat, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan MADANI, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan manfaatnya dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
“Angka yang baik perlu diikuti dengan limpahan yang dirasai segenap rakyat. Ekonomi negara berkembang enam peratus, mengatasi semua ramalan tetapi kita perlu pastikan rakyat mendapat nikmatnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata sesi perbahasan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka hari ini secara keseluruhan selari dengan nada dan mesej utama ucapan dasar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kongres bertemakan “Memugar Reformasi, Membina MADANI” itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Tengku Zafrul berkata gerak kerja komunikasi juga perlu dipertingkat supaya rakyat mengetahui pelbagai inisiatif dan hasil kerja Kerajaan MADANI.
“Panjang senarai inisiatif dan hasil kerja Kerajaan MADANI yang dikongsikan Presiden tadi, tetapi gerak kerja komunikasi kita juga perlu diperhebat agar rakyat tahu tentangnya.
“Jika rakyat tak tahu, itu bukan salah rakyat. Itu kelemahan penyampaian kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata antara perkara yang disebut Anwar ialah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), usaha membaik pulih institusi penting rakyat seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta beberapa inisiatif ekonomi dalam Belanjawan kelak.
Tengku Zafrul berkata perkara itu menunjukkan Kerajaan MADANI, khususnya PKR, menyedari bahawa perjuangan dan usaha untuk rakyat masih jauh daripada selesai.
“Saya yakin, dengan pendekatan ini, ditambah pula dengan penambahbaikan gerak kerja dan solidariti parti, insya-Allah kita akan dapat memenangi kepercayaan rakyat untuk terus melaksanakan agenda segar, demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata kekuatan PKR bergantung pada kesediaan parti untuk mendengar dengan lebih baik dan memperkukuh jentera bagi memastikan perjuangan reformasi memberikan hasil nyata kepada rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
