mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan jawapan bertulis menteri berhubung pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) yang mengalami kerugian sepenuhnya.
Berdasarkan kenyataan jawapan bertulis bertarikh 11 Ogos itu, sebanyak 14 pelaburan bermasalah telah dikenal pasti.
Daripada jumlah itu, tujuh pelaburan bermasalah yang telah dilaporkan mengalami kerugian dan dibuat rosot nilai 100 peratus dengan jumlah kerugian mencecah kira-kira RM 2.58 bilion.
Syed Saddiq berkata, pelaburan Al-Rawda Real Estates mencatatkan kerugian terbesar iaitu berjumlah RM1.864 bilion.
“Paling teruk pelaburan Al Rawda Real Estates. Kalau baca, memang naik darah.
“Lebih RM1.5 bilion dibayar secara pendahuluan kepada Al-Rawda sebagai orang tengah.
“Tiada jaminan bank. ‘Due diligence’ (semakan teliti) hancur,” katanya dalam hantaran di Threads hari ini.
Selain Al-Rawda Real Estates, Trurich Resources Sdn Bhd merekodkan kerugian kedua terbesar sebanyak RM364 juta diikuti Putrajaya Perdana Berhad (RM193.5 juta), Al Fareeda Residential Fund (RM82 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.2 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.3 juta) dan Wellspring Worldwide Ltd (RM18 juta).
Menurut Syed Saddiq, perlindungan terhadap pelaburan TH itu dilihat sekadar bergantung kepada nota janji yang dijamin secara peribadi, selain manfaat jemaah juga tidak diterima mengikut ketetapan asal.
“Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi.
“Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang. Kutipan sewa terhenti bertahun-tahun.
“Berbilion ringgit dibayar tetapi tiada hasil yang dapat ditunjukkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
