P erbuatan membuli berlaku apabila seseorang itu berasa dirinya cukup kuat untuk mengatasi orang lain, apatah lagi ke atas orang yang lemah.
Ia dilakukan biasanya demi mencari keseronokan, kepuasan diri atau kepentingan peribadi. Perbuatan ini jelasnya merupakan perbuatan yang dilarang oleh Islam. Larangan tersebut meliputi sama ada perbuatan yang dilakukan secara fizikal terhadap tubuh badan, atau yang dilakukan secara mental melalui kata-kata yang menyakitkan dan menyinggung emosi. Ringkasnya, perbuatan buli ini boleh membabitkan pelbagai cara, termasuk mempermain-mainkan, mempermalukan, memperolok-olokkan, memperlekehkan, mencaci atau menghina seseorang.
Malah, termasuk menakutkan atau membuatkan seseorang lain berasa takut dan cemas. ‘Abdur Rahman bin Abi Laila menceritakan: “Para sahabat Nabi Muhammad SAW menceritakan kepada kami bahawa pernah suatu ketika mereka sedang berjalan bersama Nabi SAW, maka ada seorang daripada mereka tertidur (atas kenderaannya). Lalu, ada sebahagian sahabat menuju kepada satu tali yang ada bersama lelaki itu, lantas mengambilnya (dengan tujuan untuk bergurau) hingga tatkala lelaki itu sedar, dia pun berasa cemas (kerana menyangkanya hilang). Maka, sahabat yang lain pun tertawa. Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang muslim membuat cemas terhadap seorang muslim yang lain.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Dalam hadis lain, Yazid bin as-Sa’ib RA mendengar Nabi SAW bersabda: “Jangan sekali-kali seseorang daripada kalian mengambil barang milik temannya, baik secara sungguh-sungguh mahupun secara gurauan. Dan jika seseorang daripada kalian menemukan tongkat temannya, maka hendaklah dia mengembalikannya.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan yang mengakibatkan seseorang yang lain berasa cemas atau takut, walaupun dengan tujuan untuk bergurau semata-mata adalah perbuatan yang dilarang oleh Nabi SAW. Sekiranya bergurau pun dilarang, apatah lagi perbuatan yang sengaja dilakukan dengan tujuan membuli, menyakiti dan mengganggu seseorang.
Dalam dunia siber kini, perbuatan buli ini telah memasuki fasa baharu apabila perbuatan buli juga boleh dilakukan lewat media sosial. Meskipun ia tidak dilakukan secara fizikal, namun perbuatan menyakitkan hati, menyinggung emosi, memalukan, memperlekehkan, mencaci atau menghina orang yang dibuli boleh mengakibatkan gangguan mental terhadapnya. Malah, terbaharu, perbuatan tersebut telah mengakibatkan kesudahannya berakhir
dengan kematian.
Perbuatan buli siber ini sekiranya tidak ditangani dari awal boleh menyebabkan masalah sosial yang serius di kemudian hari. Ini kerana trend buli jenis ini nampaknya mampu menjangkaui had umur dan kedudukan orang yang dibuli hingga ia boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja. Antara yang aneh, perbuatan ini pernah dilakukan secara konsisten oleh seorang awam terhadap seorang agamawan yang tidak disukainya. Bukan sahaja dia membuat pelbagai hantaran komunikasi jelik mengenainya, malah mencercanya dengan pelbagai gelaran seperti sesat, syirik atau kafir. Sedangkan Nabi SAW bersabda: “Mencerca orang muslim itu adalah fasik dan memeranginya pula adalah kufur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka, jika mencerca seorang muslim biasa pun dianggap sebagai perbuatan fasik, apatah lagi mencerca agamawan atau ilmuwan. Orang yang berakal waras tentunya tidak akan bertindak sedemikian. Ini kerana kita tidak tahu, boleh jadi beliau termasuk dalam kalangan orang yang diangkat darjatnya sebagai wali oleh Allah SWT. Maka, bagaimana kita mampu menghadapi kemurkaan Allah SWT, jika orang yang dicerca itu sebenarnya di sisi Allah termasuk dalam kalangan para wali-Nya? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Sesiapa yang memusuhi seorang wali-Ku, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, berhati-hatilah apabila kita berinteraksi berkaitan orang lain. Namun, apa yang menyedihkan dalam era media sosial sekarang, tabiat buli siber ini nampaknya kian menjadi-jadi. Walaupun ada peruntukan undang-undang mengenainya namun kita tidak mengetahui sejauh mana keberkesanannya untuk mengekang tabiat buruk berkenaan.
Orang yang suka membuli ini hakikatnya lebih memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah SWT namun ia perlulah bermula daripada keinsafan dan kesedaran dirinya sendiri. Insaf dan sedar untuk menjadi seorang muslim yang sebenar, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Orang Muslim itu ialah orang yang (membuat) orang Muslim lain berasa sejahtera daripada (kejahatan) lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakan makanan yang baik, beramal sesuai dengan sunnah, dan orang lain pula berasa aman daripada kejahatannya, maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd