BRASILIA – Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza bukalah peperangan, sebaliknya ia adalah pembunuhan beramai-ramai, kata Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
“Ia bukan perang askar melawan askar. Ia adalah peperangan antara tentera yang sangat bersedia dengan wanita dan kanak-kanak.
Sambung beliau lagi: “Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza pada rakyat Palestin tidak pernah berlaku pada bila-bila masa lain dalam sejarah”.
Bagaimanapun, beliau membetulkan semula kenyataan itu dengan menyebut: “Sebenarnya, ia pernah berlaku apabila Hitler memutuskan untuk membunuh orang Yahudi,” kata Lula kepada pemberita di Addis Ababa, tempat dia menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Afrika.
Susulan itu, Israel mengecam da Silva kerana membandingkan perang Israel di Semenanjung Gaza dengan Holocaust yang dilakukan oleh Adolf Hitler terhadap Yahudi semasa perang dunia kedua.
Katanya, Tel Aviv akan memanggil utusan negara Amerika Selatan itu untuk bantahan rasmi pada hari Isnin.
Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Israel, Israel Katz menyatakan kenyataan da Silva sebagai “memalukan” dan “serius.”
“Tiada siapa yang akan merosakkan hak Israel untuk mempertahankan dirinya. Saya telah mengarahkan untuk memanggil duta Brazil esok,” tambahnya di X.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula berkata, Presiden Brazil itu sudah “melintasi garis merah.”
“Kata-kata Presiden Brazil memalukan dan membimbangkan.
“Beliau meremehkan Holocaust dan cuba mengancam orang Yahudi dan hak Israel untuk mempertahankan diri,” ujarnya.
Netanyahu menambah, Tel Aviv memperjuangkan masa depannya “sambil menegakkan undang-undang antarabangsa. – Agensi




