‘Pemergian bapa kehilangan besar dalam hidup saya’ – Safawi Rasid

‘Pemergian bapa kehilangan besar dalam hidup saya’ – Safawi Rasid

DUNGUN: Jenazah bapa kepada pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, di sini, petang ini.  

Allahyarham Rasid Sulong,70, selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.15 petang. 

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Padang Jambu, sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. 

Sementara itu, Safawi ketika ditemui berkata, bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selepas rebah di kediamannya di Kampung Bukit Chatak, dekat sini. 

“Ketika itu saya berada di rumah di Gelang Patah, Johor dan selepas mendapat khabar duka ini saya terus bertolak ke Dungun bersama isteri, Syifa Malvin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Safawi berkata, pemergian bapanya disifatkan sebagai kehilangan yang besar dalam hidupnya. 

“Arwah ayah selalu memberi semangat saya sejak dari dulu sehingga saya menjadi pemain bola sepak. 

“Kini semua itu sudah tiada. Memang saya sangat sedih dengan kehilangan ayah, namun saya reda dengan takdir ilahi ini. Ayah meninggal hari Jumaat, hari yang mulia,” katanya. 

Safawi berkata, dia bertemu dengan bapanya sebulan lalu dan bapanya turut mengidap penyakit jantung dan darah tinggi. 

“Ayah seorang yang suka bergurau dengan kami 13 adik beradik dan masa kali terakhir bertemunya, ayah banyak bergurau dengan saya,” katanya. 

Safawi berkata, dia akan berehat beberapa hari ini sebelum kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan. 

Menurutnya, dia akan pulang kembali menjalani latihan dan cuba mendapatkan  tempat dalam kesebelasan utama bertemu pasukan Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada 8 disember nanti. – UTUSAN