KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur bakal menyaksikan kehadiran dua band gergasi antarabangsa, My Chemical Romance (MCR) dan Evanescence menerusi siri persembahan berskala besar November ini.
Dianjurkan oleh Hello Universe, konsert tersebut akan menggegarkan sepanjang November, menampilkan tarikh eksklusif bagi kedua-dua kumpulan legenda berkenaan.
MCR bakal menghiburkan selama dua malam berturut-turut, pada 19 dan 20 November, diikuti persembahan bertenaga daripada Evanescence pada 28 November.
Kehadiran dua nama besar ini bukan sahaja menjadi platform buat peminat tegar muzik ‘Emo’ dan ‘Gothic’ berkumpul, malah menjadi pelengkap kenangan zaman persekolahan generasi yang membesar pada awal 2000-an.
Keterujaan dikongsi seorang pengguna Threads menerusi hantaran ringkas sambil meluahkan rasa tidak percaya dengan kehadiran band-band tersebut
“My Chemical Romance dengan Evanescence datang KL dalam bulan yang sama? Siapa kata benda ini takkan jadi? Gila, ini mimpi jadi kenyataan!”
Dalam masa sama, seorang netizen mengimbau kenangan zaman persekolahan menerusi lagu-lagu yang dipopularkan band berkenaan.
“Lagu-lagu inilah yang kita dengar sampai menangis dekat bucu katil masa zaman sekolah dulu.
“Bila tiket dibuka semula macam ini, confirm tak boleh lepaskan peluang. Anggap sahaja ini ‘healing’ untuk diri kita yang dah dewasa,” ujarnya.
Penganjur menerusi hantaran di laman media sosial rasmi mereka turut mengumumkan pembukaan semula jualan tiket dalam jumlah yang terhad.
Peminat yang tidak ingin melepaskan peluang keemasan ini boleh melayari laman web rasmi www.golive-asia.com. – UTUSAN




