SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah tindakan Perikatan Nasional (PN) menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu gabungan itu.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti komponen dan penerimaan terhadap parti baharu hanya akan menyulitkan masalah dalaman sedia ada.
“Permohonan PCM untuk menganggotai PN tidak teratur. Permohonan dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas sifat sebagai Setiausaha Agung PCM.
“Namun hasil semakan rasmi mendapati Setiausaha Agung PCM yang terkini (2026-2027) adalah Yeo Kwee Kwang.
“Maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula ialah Parti Wawasan Negara, sedangkan permohonan dibuat oleh PCM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu Ahmad Faizal menjelaskan, berdasarkan semakan dibuat pihaknya setakat Isnin, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama PCM kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Beliau menegaskan, menggunakan nama parti yang tidak diluluskan RoS adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
“Bersatu kesal dengan tindakan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendesak Majlis Tertinggi PN menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan implikasi Akta Pertubuhan 1966 dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Wakil Bersatu turut membangkitkan surat daripada RoS yang diterima menerusi e-mel semalam (Isnin), memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tidak lengkap dan tiada tandatangan.
“Namun mesyuarat diteruskan juga dan ia berkemungkinan bertentangan dengan kehendak RoS untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966 dan mana-mana peraturan yang berkuat kuasa”, ujarnya.



