am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) menggesa kerajaan dapat mewujudkan satu kerangka regulasi nasional bagi mengawal penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri muzik tempatan.
Presidennya Ayob Abdul Majid berkata, AI bukan lagi teknologi masa depan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada realiti industri kreatif masa kini.
Menurutnya, persoalan utama bukan sama ada industri mahu menerima atau menolak AI, tetapi bagaimana teknologi itu dapat diurus secara beretika, telus dan adil kepada semua penggiat seni.
“Kita tidak boleh menghalang gelombang teknologi yang sedang berlaku. Apa yang penting ialah memastikan ia berkembang dalam kerangka yang menghormati kreativiti manusia, melindungi hak penggiat seni dan membuka peluang baharu kepada industri muzik Malaysia.
“Teknologi AI boleh membantu menghasilkan muzik, tetapi jiwa sesebuah lagu tetap datang daripada manusia,” katanya.
Menurutnya, penggunaan AI sebagai alat bantuan dalam proses penciptaan karya boleh diterima selagi ia tidak menafikan hak pencipta asal, komposer, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi.
Katanya, pada masa sama, IRAMA turut mengambil langkah proaktif menerusi penganjuran Carta Malaysia AI Music Awards sebagai platform kepada pengkarya tempatan meneroka potensi AI secara bertanggungjawab.
“IRAMA akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara penggiat seni, industri dan pembuat dasar bagi memastikan transformasi digital dalam sektor muzik berlaku secara teratur, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh ekosistem industri kreatif negara.
“Malah, IRAMA juga bercadang menganjurkan siri forum, bengkel dan sesi libat urus bersama penggiat industri, pakar akademik, pakar teknologi, badan hak cipta serta agensi kerajaan bagi membincangkan aspek perundangan, etika dan komersial berkaitan AI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




