Pemodenan tentera China cetus ancaman kepada Taiwan

TOKYO: Pegawai Pertahanan Amerika Syarikat (AS) berkata, pemodenan ketenteraan China yang pantas menimbulkan ancaman kepada Taiwan dan campur tangan AS hanya akan meningkatkan tekanan daripada Beijing.

Pegawai Tertinggi tentera AS di Asia Pasifik, Laksamana Philip Davidson, membuat kejutan minggu lalu apabila memberi amaran bahawa Beijing boleh menyerang Taiwan dalam tempoh enam tahun.

Ketika Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, menjadikan Asia sebagai perjalanan pertamanya ke luar negara, pegawai pertahanan AS memberi amaran mengenai perkembangan tentera Beijing yang pesat.

“Mempersiapkan diri untuk Taiwan sudah menjadi fokus dalam pemodenan tentera China untuk beberapa waktu,” kata Penolong Pemangku Setiausaha Pertahanan Bagi Hal Ehwal Keselamatan Indo-Pasifik, David Helvey, kepada wartawan ketika Austin menuju ke Tokyo semalam.

“Oleh kerana kemampuan mereka meningkat, jelas kami sangat memerhati keseimbangan ketenteraan di selat Taiwan,” katanya.

Misi Beijing di rantau ini dijangka menjadi agenda utama Austin dalam perbincangan dengan sekutunya di Tokyo, Seoul dan New Delhi.

Beijing mendakwa Taiwan dan perairan sekitarnya adalah wilayahnya , dan minggu lalu Davidson mengingatkan ancaman pencerobohan akan berlaku dalam dekad ini, dalam tempoh enam tahun.

Beijing menolak dakwaan itu, tetapi seorang pegawai kanan pertahanan AS menunjukkan usaha China untuk meningkatkan kemampuan angkatan lautnya, walaupun terdapat gangguan pandemik COVID-19.

“Pada tahun 2020, China masih menugaskan 25 kapal baharu yang besar dan ia bukan kapal tunda atau kapal peronda,” kata pegawai itu, yang tidak mahu disebutkan namanya.

“Ini adalah kapal penjelajah, dan kapal pemusnah dan frigat serta kapal selam peluru berpandu balistik,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd