BANDA ACEH – Seorang pempengaruh media sosial yang menggunakan akaun TikTok dikenali sebagai ‘Selep Aceh Besar’ ditahan Polis Syariah selepas disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mempamerkan kemaluan ketika bersiaran secara langsung di platform berkenaan.
Suspek kini sedang menjalani siasatan lanjut selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai berhubung kandungan siaran langsung yang didakwa melanggar undang-undang syariah di wilayah Aceh.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan Perundangan Daerah, Satpol PP-Wilayatul Hisbah (WH) Aceh, Marzuki, pihaknya turut memperoleh beberapa rakaman video lain yang dipercayai memaparkan perbuatan serupa.
“Video yang tular itu hanyalah salah satu daripada beberapa rakaman siaran langsung yang sedang kami siasat,” katanya ketika mengesahkan penahanan tersebut kepada media tempatan.
Suspek ditahan di kediamannya di sebuah kampung di Aceh Besar pada Khamis.
Marzuki berkata, siasatan turut diperluaskan bagi mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam siaran langsung berkenaan.
Setakat ini, hanya seorang suspek ditahan.
Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Qanun Aceh No. 13 Tahun 2025 berkaitan pindaan kepada Qanun Jinayat yang mengawal kesalahan jenayah syariah di wilayah tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.-Agensi



