mahaizura@mediaprima.com.my
DI sudut sebuah rumah sederhana di Felda Sungai Sayong, Kota Tinggi, Johor, tersusun pelbagai peralatan membaiki seperti pemutar skru, wayar dan komponen elektronik.
Ruang kecil itulah yang menjadi ‘bengkel’ Abd Karim Md Taha, 59, untuk membaiki telefon bimbit, kipas angin, mesin basuh, peti sejuk dan joran bagi menambah pendapatan.
Siapa sangka, semua kerja yang memerlukan ketelitian itu dilakukan hanya dengan sebelah kaki selepas kaki kirinya dipotong separas paha akibat komplikasi diabetes pada 2019.
Namun, bagi Abd Karim, kehilangan anggota badan bukan noktah kepada kehidupan sebaliknya, ujian itu mengajarnya supaya terus berdikari dan tidak menjadikan kekurangan fizikal sebagai alasan untuk mengalah.
“Saya tidak suka duduk diam dan tidak mahu menyusahkan orang.
“Kalau badan masih mampu bergerak dan tangan masih boleh bekerja, saya akan cari sesuatu untuk dibuat,” katanya.
Bekas pemandu lori itu berkata, minat membaiki barangan sudah lama berputik, malah sejak 2018 dia mula mengambil upah membaiki pelbagai peralatan milik penduduk sekitar.
Menurutnya, kemahiran itu tidak dipelajari secara formal sebaliknya diperoleh melalui pembelajaran sendiri dengan menjadikan YouTube sebagai rujukan utama.
“Kalau saya tidak tahu, saya tengok YouTube. Saya ulang berkali-kali sampai faham, kemudian cuba baiki sendiri.
“Daripada situ saya belajar sedikit demi sedikit,” katanya.
Abd Karim berkata, setiap barangan yang diterima akan diperiksa terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kerosakan sebelum membeli alat ganti yang diperlukan.
Katanya, bagi telefon bimbit, kerosakan yang sering diterima membabitkan butang kuasa, butang suara dan skrin LCD, manakala kipas angin pula kebanyakannya mengalami kerosakan pada motor atau fius yang terbakar.
“Saya ambil upah ikut jenis kerosakan dan harga barang yang perlu diganti.
“Upah saya tidak mahal, cukup sekadar berbaloi dengan kerja yang dibuat,” katanya.
Walaupun pendapatan hasil kerja membaiki itu cuma kira-kira RM500 sebulan, dia bersyukur kerana masih mempunyai sumber pendapatan sendiri selain dapat membantu orang ramai menjimatkan kos membeli barangan baharu.
Katanya, pelanggan pula terdiri daripada warga setempat selain orang luar.
“Ramai yang datang untuk dapatkan perkhidmatan yang saya tawarkan selepas disyorkan pelanggan.
“Syukur kerana rezeki saya ini tidak putus,” katanya.
Selain membaiki pelbagai peralatan, Abd Karim juga aktif memancing yang menjadi hobinya sejak sekian lama.
Dia turut mengusahakan tanaman cendawan secara kecil-kecilan di rumah untuk kegunaan keluarga selain berkongsi dengan jiran dan rakan.
Masa lapangnya juga diisi dengan menghasilkan lastik berbentuk senapang yang digunakan untuk menghalau haiwan perosak daripada memasuki kawasan tanaman di sekitar rumahnya.
Abd Karim turut dikenali sebagai pengamal perubatan Islam bagi membantu merawat individu yang memerlukan khidmatnya.
“Selagi ilmu yang dimiliki mampu memberi manfaat kepada orang lain, saya akan terus menghulurkan bantuan mengikut kemampuan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu percaya, setiap manusia diuji dengan cara berbeza, namun ujian itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti berusaha.
“Jangan cepat berputus asa. Kalau ada kemahuan, kita boleh belajar apa saja.
“Sekarang semuanya ada di hujung jari. Saya belajar sendiri dan sampai hari ini masih belajar.
“Yang penting, jangan malu mencari ilmu dan jangan berhenti berusaha mencari rezeki yang halal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




