Pemuda maut dirempuh pemandu positif dadah

Pemuda maut dirempuh pemandu positif dadah

nfazlina@nstp.com.my

Kuala Krai: Pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta dipandu lelaki positif dadah di Kilometer 59 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Kampung Keroh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Honda jenis EX5 dan kereta Proton Saga.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu dari arah Machang menghala ke Kuala Krai dan dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung motosikal datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ujian awal air kencing terhadap pemandu kereta terbabit mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk dibedah siasat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top