am@hmetro.com.my
Kemaman: Hasrat seorang pemuda menghadiri program RXZ Members 8.0 tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, pagi tadi.
Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di situ, kira-kira jam 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15zr bersama rakan-rakannya sedang dalam perjalanan dari Gombak, Selangor untuk menghadiri program permotoran yang diadakan di Kuala Nerus.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa yang berada di lorong sebelah kanan telah hilang kawalan.
“Motosikal terbabit kemudiannya bergesel dengan penghadang jalan sebelah kanan yang menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di tengah lebuh raya, ” katanya.
Mohd Razi berkata, mangsa yang cedera di bahagian kepala dan kedua-dua belah kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




