Penamat impian buat Oliveira

Portimao, Portugal: Pelumba KTM Tech 3 Team, Miguel Oliveira menggunakan sebaiknya kesempatan beraksi di laman sendiri dengan menjuarai perlumbaan terakhir MotoGP musim ini di Portugal semalam.

Oliveira meneruskan kejuaraan pertama di Styria pada Ogos lalu dengan merangkul kejuaraan kedua di Portimao dalam perlumbaan pertamanya bagi kelas tertinggi di negara kelahirannya.

Miguel Oliveira berkata kemenangan perlumbaan MotoGP Portugal di halaman sendiri itu adalah pencapaian yang cukup istimewa dan penamat impian buat dirinya pada musim ini.

“Ia seperti sukar dipercayai. Impian anda mengenai perlumbaan seperti ini dan akhirnya dapat melakukan dengan menakjubkan”, kata Oliveira.

“Sukar untuk saya jelaskan menerusi kata-kata, hanya terima kasih kepada semua orang dan peminat yang menyaksikan di rumah kerana tidak dapat berada di sini. Kepada mereka, saya ucapkan terima kasih dan juga kepada pasukan saya”, katanya lagi.

“Ia hari yang hebat dan pencapaian cukup besar buat saya. Ia lebih istimewa kerana keluarga saya tidak dapat melihat kemenangan pertama saya secara langsung tetapi mereka berada di sini jadi ia hari menakjubkan buat saya, cukup emosi. Saya bersyukur kerana menamatkan musim dengan baik”, tambahnya.

Sementara itu, Jack Miller menduduki tempat kedua untuk memastikan Ducati meraih kejuaraan keseluruhan kategori pengeluar.

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top