Penang FC tamatkan badi kekalahan di tempat sendiri

Penang FC tamatkan badi kekalahan di tempat sendiri

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Penang FC menamatkan badi kekalahan enam kali berturut-turut termasuk dua aksi pusingan ke-16 Piala Malaysia selepas membenam PDRM FC 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Pemain tuan rumah melancarkan asakan ke kubu pelawat seawal minit pertama menerusi pemain import, Dylan Wenzel-Halls, tetapi rembatan pemain import Australia itu tersasar.

Tidak lama kemudian, PDRM FC beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Amir Saiful Badeli dilayangkan kad merah pada minit kelapan oleh pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee.

Amir Saiful yang telah mengutip tiga kad kuning musim ini sebelum itu melakukan kekasaran terhadap seorang pemain skuad Harimau Kumbang sehingga menyebabkan perlawanan kecoh seketika.

Rodrigo Dias akhirnya menanduk masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-38 hasil hantaran pemain tengah, Al-Hafiz Harun, sekali gus merekodkan enam jaringan peribadinya musim ini.

Pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat menggandakan jaringan skuad Harimau Kumbang pada minit ke-55 apabila rembatan rendahnya membolosi gawang lawan.

PDRM FC yang sesekali melancarkan serangan balas cuba mencetak gol pertama mereka, namun ketumpulan jentera penyudah membantutkan hasrat pelawat mencipta gol.

Hujan renyai bertukar lebat memaksa Muhammad Shukor untuk menghentikan perlawanan buat sementara waktu meskipun aksi hanya berbaki lima minit.

Sebaik sahaja aksi disambung semula, tuan rumah terus mempertahankan kelebihan dua gol itu, sekali gus melegakan pengendali baharunya, Wan Rohaimi Wan Ismail.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top