Penarikan diri Pakistan tak beri kesan besar kepada Piala Asia 2025

Penarikan diri Pakistan tak beri kesan besar kepada Piala Asia 2025

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penarikan diri saat akhir oleh Pakistan dilihat sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berasa lega kerana Kejohanan Piala Asia 2025 yang akan membuka tirai di Stadium Titiwangsa esok tetap berjalan tanpa menjejaskan banyak pihak.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, meskipun kehilangan satu pasukan daripada jumlah asal 14 negara yang sepatutnya bersaing, namun perkara itu tidak memberi kesan besar kepada perjalanan kejohanan kali ini.

“Sedikit lega kerana hanya satu pasukan menarik diri. Sebenarnya, saya risau kerana bimbang kedua-dua pasukan (Pakistan dan India) menarik diri, tetapi India sudah sampai semalam.

“Pakistan memang sudah menghubungi kita dua hari sebelum ini dan mereka sudah berusaha untuk datang ke sini. Setiausaha Persatuan Takraw Pakistan sahaja yang sudah ada di sini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis Pelancaran Kejohanan Piala Asia 2025 ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagi menyempurnakan program itu.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa kurang 24 jam sebelum Piala Asia 2025 membuka tirai, Pakistan membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri daripada kejohanan itu akibat pergolakan politik yang berlaku antara negara mereka dan India.

Dalam perkembangan sama, Hannah menyatakan sokongan penuh kepada PSM untuk menganjurkan Kejohanan Piala Dunia tahun depan yang akan melibatkan pasukan wanita buat pertama kali dalam sejarah penganjuran.

“Seperti saya maklumkan kepada semua persatuan sukan, pastikan mereka tidak pilih kasih supaya peluang, peruntukan dan pendedahan turut diberikan kepada mereka (pasukan wanita),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top