Penasihat strategik kewangan buat tuntutan palsu RM150,000 ditahan

Penasihat strategik kewangan buat tuntutan palsu RM150,000 ditahan

PUTRAJAYA:,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penasihat strategik kewangan bergelar Datuk Seri kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu.

Ia bagi tujuan kerja-kerja penggabungan syarikat bernilai kira-kira RM 150,000 sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 50-an ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Julai 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan membuat tuntutan palsu bagi perkhidmatan korporat penggabungan dua entiti syarikat sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN