lokman.khairi@hmetro.com.my
Hulu Langat: Penduduk kampung sekitar daerah ini membuat laporan polis, hari ini, terhadap penganjuran program perkhemahan didakwa berunsur pergaulan songsang yang dijadualkan berlangsung di sini, hujung minggu ini.
Pengerusi Ikatan Perpaduan Melayu Islam Hulu Langat (Ikatan), Ahmad Fuad Abdul Rahman berkata, pihaknya membantah keras program terbabit yang disifatkan tidak sensitif dengan majoriti penduduk yang beragama Islam.
“Penganjuran program ini bukan sahaja mencabar norma masyarakat, malah satu bentuk penghinaan terbuka terhadap kesucian Agama Islam serta maruah bangsa Melayu yang menjadi teras penduduk tempatan di Hulu Langat.
“Pihak Ikatan berpendirian bahawa penganjuran program ini sebagai cubaan menormalisasikan fahaman songsang yang ditolak oleh Islam dan ancaman kepada akhlak generasi muda dan keharmonian institusi keluarga Islam.
“Ini juga adalah cubaan untuk menjadikan kawasan Hulu Langat sebagai medan eksperimen ideologi songsang dan kami bimbang penganjuran program yang serupa di masa depan,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Batu 18, di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau menuntut penganjuran program terbabit dibatalkan serta-merta.
Katanya, Ikatan juga menuntut pihak berkuasa menyiasat penganjur dan pemilik premis atas kemungkinan pelanggaran undang-undang sivil dan syariah.
“Pihak berkuasa haruslah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengharamkan sebarang penganjuran program yang mempromosi LGBT khasnya di dalam kawasan Hulu Langat.
“Pendirian kami adalah berasaskan kepada tanggungjawab untuk mempertahan dan memperjuangkan maruah dan kesucian agama Islam dan bangsa Melayu berlandaskan kepada Perlembagaan Malaysia, undang-undang dan hak rakyat,” katanya.
Sebelum ini, penganjur program ‘Glamping with Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu ini menegaskan ia tetap akan diteruskan, walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Program itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro-LGBT dan digambarkan sebagai satu program ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur sekiranya program terbabit diteruskan.
- Sultan Selangor titah tindakan tegas terhadap aktiviti LGBT di Selangor
- Mufti Wilayah Persekutuan nasihat henti program ‘Glamping Pride’
- ADUN Dusun Tua gesa pengusaha chalet, resort tidak ‘buka pintu’ terhadap program LGBT
- Lima laporan polis diterima berhubung penganjuran program ‘Glamping Pride’
- Jakim tidak kompromi program bercanggah ajaran Islam
- MAIS ingatkan umat Islam tak sertai aktiviti LGBT, tolak sebarang cubaan promosi
- PDRM pantau program ‘Glamping With Pride’ – Exco Selangor
© New Straits Times Press (M) Bhd




