am@hmetro.com.my
Shah Alam: Penduduk berhampiran sebuah resort di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar gempar dengan penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba, semalam.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, mamalia dari spesies Indo-Pacific Bottlenose Dolphin (Tursiops aduncus) itu ditemui mati terdampar dan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menerusi aplikasi WhatsApp.
“Sepasukan pegawai dan kakitangan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Selangor (DOF Selangor) segera turun ke lokasi kejadian.
“Hasil pemerhatian serta semakan mendapati bangkai terbabit berukuran panjang 221 sentimeter dan anggaran berat 120 kilogram (kg),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noraisyah memaklumkan, pihaknya yang dibantu penduduk sudah mengambil data lengkap mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia.
Jelasnya, sampel gigi dan kulit ikan lumba-lumba itu turut diambil bagi tujuan semakan DNA.
“Data-data berkaitan kejadian direkodkan sebagai sebahagian daripada pemantauan kes kedamparan ikan lumba-lumba bagi Selangor.
“Bangkai mamalia itu kemudian ditanam berhampiran kawasan berkenaan untuk tujuan pelupusan,” ujarnya.
Jelas Noraisyah, pelbagai faktor boleh menjadi punca kematian ikan lumba-lumba seperti terdampar disebabkan arus atau tersesat, tersangkut kepada jaring atau pukat haram, pelanggaran dengan kapal dan sebagainya.
Pada masa sama, faktor alam seperti ribut dan air pasang besar juga boleh menjadi penyebab kepada kematian ikan itu.
“Kami menyeru dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak supaya dapat melaporkan sebarang kejadian kematian mamalia marin yang dikesan di perairan Selangor supaya tindakan lanjut dapat diambil oleh DOF Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




