Penduduk resah kilang bakal dibina berhampiran kediaman

Penduduk resah kilang bakal dibina berhampiran kediaman

 

TASEK GELUGOR: Lebih 500 penduduk Kampung Baharu di sini, melahirkan rasa bimbang selepas rancangan pembinaan kilang di tanah lot berhampiran kediaman mereka diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini.

Susulan itu, sekumpulan penduduk berkumpul di hadapan tapak seluas kira-kira 1.6 hektar itu sebagai membantah tindakan pemilik tanah yang didakwa mahu mendirikan kilang pemprosesan makanan haiwan di kawasan terbabit.

Salah seorang penduduk, Mohd. Kozri Ayob, 59, berkata, dia bimbang sekiranya pembinaan kilang terbabit diteruskan kerana lokasi itu amat berhampiran dengan penempatan penduduk.

“Permohonan kebenaran merancang pembinaan dua unit kilang setingkat, satu unit pejabat dua tingkat, satu unit TNB ‘substation’, satu unit pondok pengawal, satu unit bilik pam dan kolam takungan telah diluluskan.

“Pembinaan kilang ini bukan sahaja akan menyebabkan pencemaran udara dan bunyi bising, malah dikhuatiri akan mengganggu ketenteraman penduduk.

“Kami tidak menolak pembangunan, namun pembinaan kilang di kawasan perkampungan ini amat tidak sesuai kerana penduduk terpaksa berdepan dengan akibat dan risikonya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari.

Tambahnya, penduduk berhasrat mengatur pertemuan bersama pemilik tanah dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam masa terdekat bagi mencari titik penyelesaian isu terbabit.

BUKHORI Ghazali (tengah) ketika bertemu Mohd. Kozri Ayob (kanan) berkenaan isu pembinaan kilang berdekatan penempatan penduduk di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini. – Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali ketika ditemui pemberita berkata, beliau mengambil maklum berkenaan kebimbangan penduduk itu dan akan berusaha membantu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

“Saya perlu mengumpulkan maklumat terperinci sebelum tindakan susulan diambil berhubung isu terbabit.

“Saya menyokong usaha penduduk dalam menangani permasalahan ini dan jika mereka mahu bertemu pemilik tanah dan PBT, saya akan bersama mereka,” katanya. – UTUSAN