SYDNEY: Penduduk bandar raya itu dilarang rentas negeri selepas pihak berkuasa Australia berusaha memutuskan penularan pandemik COVID-19 varian Delta ke wilayah lain.
Lebih daripada 30 orang dijangkiti wabak itu sejak kluster itu dikesan di kawasan Pantai Bondi, dekat sini, minggu lalu.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian mengumumkan sekatan baharu akan dilaksanakan minggu hadapan, termasuk larangan perjalanan yang tidak penting keluar dari Sydney dan mengehadkan perjumpaan sosial.
“Lebih lima juta penduduk Sydney akan dikenakan sekatan perjalanan termasuk di tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan yang dikesan berlakunya penularan kes COVID-19,” katanya.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menguatkuasakan penutupan restoran dan bar, tetapi nyanyian dan tarian tidak dibenarkan manakala acara besar masih boleh berlangsung dengan kapasiti stadium yang terhad sehingga 50 peratus.
Australia antara antara negara paling berjaya di dunia membendung penularan wabak Covid-19 kerana mencatatkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 30,000 kes dan 910 kematian.
Berikutan itu, pihak berkuasa Sydney menggesa penduduk bandar raya itu sentiasa mematuhi peraturan baharu.
Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard berkata, varian COVID-19 Delta lebih bahaya dan mudah menular.
“Saya tahu melalui pengalaman saya … kini semua orang keletihan dan tidak peduli mengenai tindak balas virus ini. Namun ia adalah versi virus yang lebih berbahaya, jadi sikap tidak peduli itu harus dihapuskan,” katanya.
Wabak terbaru daripada varian COVID-19 Delta dikaitkan dengan pemandu kepada kru penerbangan antarabangsa yang dijangkiti varian itu yang pertama kali dikesan di India.
Sementara itu, pihak berkuasa New Zealand juga memperketatkan sekatan di Wellington selepas seorang lelaki dari Sydney yang mengunjungi bandar itu pada hujung minggu lalu, diuji positif apabila pulang ke rumah.
Virus ini merebak dari hotel Australia yang digunakan untuk kuarantin pengembara yang pulang dan pakar kesihatan berkata wabak ia akan berlanjutan sehingga sebilangan besar warga Australia divaksinasi.
Kira-kira 6.7 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan setakat ini daripada keseluruhan 25 juta penduduk di Australia. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




