Sepang: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menyambut ketibaan penerbangan sulung AirBorneo Airways dari Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Penerbangan MY5005 itu membawa Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan menteri negeri Sarawak serta tetamu kenamaan.
Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata penerbangan sulung laluan Kuching-Kuala Lumpur itu merupakan satu pencapaian penting buat Sarawak dan AirBorneo, syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak.
“Ini mencerminkan komitmen kami dalam memperkukuh kesalinghubungan, memperluas peluang serta menyokong aspirasi ekonomi jangka panjang Sarawak. Kesalinghubungan penerbangan menjadi teras kepada masa depan Sarawak.
“Ia merupakan nadi ekonomi yang menghubungkan masyarakat, menyokong perniagaan dan mewujudkan peluang untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Abu Bakar, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, berkata penerbangan komersial sulung itu bukan sahaja menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan panjang Sarawak memperkukuh kawalan terhadap jaringan perhubungan udaranya sendiri, malah turut menandakan penyertaan AirBorneo ke era pesawat jet komersial menerusi pengenalan dua pesawat Boeing 737-800 yang diperoleh secara pajakan basah (wet lease).
Turut hadir di KLIA ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Mohd Aminuddin berkata pelancaran tersebut merupakan titik perubahan penting bagi AirBorneo ketika syarikat itu memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
“Keutamaan kami kekal untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi, di samping terus menambah baik pengalaman perjalanan penumpang.
“Kami menghargai sokongan serta keyakinan yang diberikan oleh pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan ketika kami membangunkan AirBorneo untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Mulai 21 Julai 2026, AirBorneo akan mengendalikan penerbangan dua kali sehari antara Kuching dan Kuala Lumpur.
Syarikat itu telah mula menjual tiket laluan berkenaan dengan tambang sehala bermula RM375 bagi Kelas Ekonomi dan RM736 bagi Kelas Perniagaan.
Laluan Kuching-Kuala Lumpur itu menjadi permulaan kepada pengembangan rangkaian domestik AirBorneo.
Syarikat penerbangan itu akan terus memperkukuh rangkaiannya secara berperingkat, dengan Singapura bakal menjadi destinasi antarabangsa pertamanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




