Faiz rekrut terbaharu TFC

Faiz rekrut terbaharu TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemain tengah menyerang, Faiz Mazlan menjadi rekrut terbaharu Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.

Bekas pemain Melaka musim lalu itu mengikat kontrak selama semusim bersama skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain.

“Kehadiran pemain kelahiran Selangor itu dijangka mampu menambah lagi dimensi kepada corak permainan TFC menerusi kreativiti, visi permainan serta kebolehannya menggerakkan jentera serangan.

“Pada masa sama pemain yang dirantai selama semusim sehingga 31 Mei 2027 itu diharapkan mampu menggalas tugas dengan lebih baik berdasarkan pengalaman luas dalam kancah Liga M,” demikian menurut kenyataan media rasmi kelab itu hari ini.

Sementara itu Faiz yang memulakan kariernya bersama kelab Felda United pada 2019 akui teruja kerana dipilih menjadi sebahagian ahli keluarga besar TFC.

“Syukur atas kepercayaan dan peluang yang diberikan ini, saya tekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan dan juga perlawanan.

“Pada masa sama saya turut mengharapkan kerjasama padu daripada rakan sepasukan dan tidak ketinggalan sokongan daripada peminat yang pasti mampu membangkitkan lagi semangat kami,” ujar pemain berketinggian 1.76 meter itu yang lebih mesra dipanggil ‘Macha’.

Berdasarkan rekod, selain Melaka, pemain itu pernah menyarung jersi Petaling Jaya City FC, Penang FC, Kelantan dan Kuala Lumpur Rovers.

Terdahulu TFC mengumumkan kehadiran pemain tengah skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Haziq Kutty Abba, bekas pemain Kuching City FC, Daniel Amier Norhisham serta tiga tonggak import iaitu Manuel Ott, Habib Haroon dan Elvis Kamsoba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top