Penganggur mengaku salah lakukan khianat api

Penganggur mengaku salah lakukan khianat api

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat api sehingga menyebabkan kebakaran kecil di sebuah tempat ibadat yang terletak di bawah blok pangsapuri di Ayer Itam, awal bulan ini.

Tertuduh, Chye Bee Song, 50, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Bagaimanapun, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh penyerahan laporan forensik kebakaran dan keputusan hukuman terhadap tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar tempat ibadat agama Buddha sehingga menyebabkan kerugian RM100.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Blok 1, Taman Lone Pine, yang terletak dalam Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 1 Mac lalu kira-kira 4 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top